Ringkasan Edgar Allan Poe

Poe dilahirkan di Boston kepada dua orang pelakon teater. Ayahnya meninggalkan keluarganya di 1810 manakala ibunya meninggal pada tahun berikutnya, menjadikan Edgar seorang yatim piatu. Edgar dijaga pasangan suami isteri yang bernama John dan Frances Allan dari Richmond, Virginia, meskipun pasangan tersebut tidak mengambilnya sebagai anak angkat secara rasmi. John Allan dan Edgar berkali-kali berselisih atas hutang-piutang yang terkumpul disebabkan perjudian serta kos pembiayaan pendidikan Edgar. Poe menghadiri Universiti Virginia selama satu semester tetapi dia terpaksa berhenti kerana dia kekurangan wang. Poe bertengkar dengan Allan disebabkan masalah kewangan yang mereka hadapi, dan Poe lalunya mendaftarkan dirinya sebagai askar pada tahun 1827 dengan nama berbeza. Pada masa inilah Edgar memulakan kerjaya penulisannya dengan sebuah koleksi puisi bertajuk Tamerlane and Other Poems ("Tamerlane dan Puisi-Puisi Lain", 1827) yang tidak dikreditkan pada namanya.

Poe bertukar bidang kepada sastera dan menghabiskan beberapa tahun bekerja untuk jurnal-jurnal serta makalah sastera, di mana kerjanya menjadi terkenal kerana gaya kritikan sasteranya yang tersendiri. Pekerjaannya memaksanya berpindah-randah di antara beberapa kota, termasuk Baltimore, Philadelphia, dan New York City. Dia mengahwini sepupunya, Virginia Clemm, di Richmond pada tahun 1836. Pada bulan Januari 1845, Poe menerbitkan puisi "The Raven" yang menjadikannya seorang penulis yang masyhur. Isterinya meninggal dunia disebabkan batuk kering dua tahun selepas cerpen itu diterbitkan. Dia telah merancang selama bertahun-tahununtuk menghasilkan sendiri jurnalnya sendiri yang bertajuk The Penn (kemudiannya The Stylus), meskipun dia meninggal sebelum ia sempat dihasilkan.

Poe meninggal dunia di Baltimore pada 7 Oktober 1849 ketika dia berusia 40 tahun; penyebab kematiannya tidak diketahui dan ramai orang yang mempunyai pendapat berbeza sama ada ia disebabkan oleh alkohol, kesesakan otak, taun, penyalahgunaan dadah, penyakit jantung, penyakit anjing gila, bunuh diri, batuk kering dan sebagainya.[3]